Tuesday, May 17, 2011

Bahaya dan Bahana Lidah (Selamatkan maruah manusia daripada kejahatan lidahnya)

Oleh Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani

Lidah manusia sangat tajam. Ketajaman lidah tidak sama seperti ketajaman mata pedang. Luka akibat mata pedang mungkin akan sembuh, namun luka akibat ketajaman lidah seseorang sukar disembuhkan.

Apabila merujuk kepada dalil-dalil syarak, manusia diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya memelihara lidah mereka. Sebuah hadis yang terkenal, sabda Nabi s.a.w yang bermaksud “Orang Islam yang sebenar ialah mereka yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan lidah dan tangannya.”(Riwayat Muslim).

Marilah kita amati dan amalkan hadis ini sebaik-baiknya. Terutama sekali dalam dunia serba moden dan canggih, dengan hanya menyebarkan berita melalui satu klik pada keyboard sahaja, bukan sekadar dengan lidah, anda mungkin boleh terjerumus dalam mencerobohi maruah manusia.

Lebih bahaya lagi, dengan hanya menyebarkan fitnah melalui Internet, semua manusia boleh membaca selagimana fitnah itu boleh dipadamkan. Maka bagi saya, topik ini penting untuk diketengahkan dalam situasi kecelaruan yang melanda negara kita akhir-akhir ini. manusia tanpa segan silu sanggup mencalarkan maruah seseorang dengan begitu mudah. Fitnah berlaku sana sini sedangkan kalau kita perhatikan sedalam-dalamnya hukum syariat Islam, banyak hukum hakam yang berkaitan dengan anjuran memelihara maruah.


Menjaga Maruah Menjadi Maqasid Syariah

Para fuqaha dan ulama maqasid menetapkan bahawa hifz al-‘ird atau penjagaan maruah menjadi matlamat penting yang perlu dicapai dalam pensyariatan hukum-hukum Islam. Oleh sebab itu, apabila kita meneliti keseluruhan syariat Islam, dapat kita lihat bagaimana kewajipan seseorang Islam dalam menjaga maruah sama ada maruahnya sendiri atau keluarganya, bahkan lebih jauh daripada itu menjaga maruah orang lain daripada tercemar.
Antara hukum yang jelas dalam Islam yang ingin merealisasikan objektif penjagaan maruah ialah larangan zina. Selain bermatlamatkan manjaga keturunan, zina juga dikutuk dan dilarang oleh Allah Taala kerana ia mencemarkan maruah seseorang.

Sebab itu Allah Taala menafikan kecelaan daripada isteri dan hamba-hamba. Allah Taala memuji orang Mukmin yang menjaga kemaluan mereka daripada perbuatan zina dalam surah al-Ma’arij ayat 29-30, mafhumnya “Dan mereka yang  menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”

Perkataan “mereka tidak tercela” dalam ayat di atas menunjukkan bahawa maruah seseorang akan tercemar apabila mereka melakukan perbuatan zina. Jadi Allah Taala menafikan sifat celaan ini daripada isteri atau hamba kerana kedua-duanya adalah halal dalam Islam. Ini menunjukkan bahawa orang yang melakukan zina sebenarnya telah mencemarkan maruah mereka. Dan ini menyalahi maqasid syariah yang menghendaki supaya maruah seseorang itu terpelihara.

Larangan Qazaf

Selain itu, apa yang lebih jelas lagi kepada kita, Islam melarang perbuatan qazaf. Mengapa qazaf dilarang? Tujuannya adalah bagi menjaga maruah manusia. (Al-Futuhi, Sharh al-Kawkab, jil. 2, hlm. 402)

Hukum had qazaf ialah 80 kali sebatan ke atas seseorang yang menuduh orang lain berzina atau liwat, tanpa sebarang bukti syarak. Bukti syarak ialah kesaksian empat orang lelaki yang adil atau pengakuan daripada pelaku itu sendiri. Perkara ini perlu difahami oleh masyarakat. Jika hanya seorang sahaja menjadi saksi, ia tidak memadai. Jika bukti gambar atau rakaman video sahaja, tetap tidak mencukupi dan masih belum boleh diterima.

Kenapa sebegitu susah sekali mencari bukti  tuduhan zina? Kenapa mesti mencari empat orang saksi lelaki yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri?
Jawapannya ialah Islam sangat mementingkan maqasid memelihara maruah manusia. Oleh kerana isu mengenai zina ini berkaitan dengan maruah , maka islam mewajibkan hukuman seksaan 80 kali sebatan ke atas orang yang menyebarkan tuduhan seperti ini tanpa bukti sebenar. Maksud firman Allah Taala: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 sebatan. Dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasiq.”Surah al-Nur 24:4)

Ayat ini betul-betul mengajar kita betapa besarnya dosa orang yang menyebarkan fitnah tuduhan zina kepada seseorang. Perkara ini perlu dimuhasabah oleh masyarakat kita hari ini. maruah seorang manusia khususnya orang Muslim wajib dijaga oleh kita. Bahkan menyakiti hati seorang Muslim dengan sedikit kata-kata pun dilarang.

Firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan orang yang mengganggu serta menyakiti orang lelaki yang beriman dan orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa amat nyat.” (Surah al-ahzab 33:58)

Hadis riwayat Muslim jelas menggambarkan hal ini, sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud : “Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram iaitu darah, harta dan maruahnya”.
Maksud hadis ini ialah seorang Muslim perlu menjaga darah saudara seislamnya, sama seperti mereka juga wajib memelihara harta serta maruah saudaranya. Oleh sebab itu, Islam menetapkan tuduhan qazaf iaitu menuduh seseorang berzina adalah sangat berat. Apa yang menyedihkan kita, ada segelintir orang yang memandang remeh hal sebegini. Ketahuilah bahawa sesiapa yang terjerumus dalam maksiat qazaf dan masih belum bertaubat, maka dia berada dalam bahaya yang sangat besar.

Islam bukan sahaja menjaga maruah orang yang merdeka, bahkan seorang tuan juga tidak boleh menuduh hambanya berzina tanpa bukti yang dibenarkan syarak. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat tuduhan zina kepada hamba abdinya sedangkan dia bebas daripada tuduhan tersebut, nescaya dia akan disebat pada hati kiamat kecuali dia (hamba) sepertimana dituduh.” (Riwayat al-Bukhari).

Larangan Mengumpat

Selain qazaf, dalam memelihara maruah manusia, Islam melarang ghibah atau mengumpat. Mafhum firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat ayat 12 sudah memadai menunjukkan kekuatan larangan tersebut: “wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani”.

Mengumpat sepertimana pandangan al –Ghazali dan diikuti oleh al-Nawawi dijelaskan dengan makna seseorang menyebut tentang sesuatu perkara mengenai orang lain yang tidak disukai olehnya. Sama ada berkaitan tubuh badan, agama, dunia, diri, jasad, perangai, harta, bapa, anak, isteri, khadam, pakaian, gerak-geri, diam dan lain-lain berkaitan dengan seseorang. Begitu juga sama ada denga lafaz, isyarat mata atau sebagainya. Pendek kata, semua perkara yang kita lakukan yang boleh melukakan hati saudara kita sekiranya dia mengetahui hal tersebut, maka ianya adalah mengumpat. (Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil.17, hlm. 207).

Abu Daud ada meriwayatkan hadis lain, sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya, riba yang paling dahsyat adalah dengan mencerobohi maruah seseorang Muslim tanpa hak”. Kita tahu riba itu dosa besar, dan sudah tentu hadis ini menunjukkan bahawa mengumpat sama darjatnya denga riba, bahkan lebih bahaya.   
  
Dalil-dalil ini membuktikan bahaya dan bahana mengumpat. Ia sebenarnya berkaitan dengan maruah seseorang. Al- Qurtubi mentafsirkan hukumnya sebagai dosa besar. Nauzubillah min zalik. Imam al-Nawawi juga ada membawa hadis daripada Anas mengenai pengharaman mengumpat. Hadis itu menceritakan kisah Nabi dimikrajkan kemudian diperlihatkan kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga mencakar-cakar kulit muka dan dada mereka. Apabila ditanya kepada Jibrail, siapakah mereka, Jibrail menjawab: “ Mereka ialah golongan yang memakan daging manusia dan terjerumus dalam dosa mencerobohi maruah mereka”. (Riwayat Abu Daud)

Maka, sama-samalah kita bermuhasabah dan menjauhkan diri daripada dosa mencemarkan dan mencerobohi maruah orang lain. Ingatlah hadis apabila ‘Uqbah bin Amir bertanyakan kepada Nabi s.a.w yang bermaksud: “Engkau jagalah lidahmu, bahagiakanlah rumahmu, menangislah kerana dosamu kerana sesungguhnya manusia yang jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang keras”.

Wallahu’alam 

No comments:

Post a Comment